Thursday, 12 December 2013

SYAIR



Syair merupakan sejenis puisi berlagu. Syair disampaikan dalam bentuk rangkap dan menjadi kegemaran masyarakat Melayu lama. Setiap rangkap dalam syair mengandungi sebanyak 4 baris dan kesemuanya membawa makna isi dan maksud yang ingin disaampaikan. Keempat-empat baris tersebut berirama sama.

      Selain itu, syair tidak mempunyai pemilik atau penulis yang khusus. Ia dianggapkan milik bersama oleh masyarakat Melayu lama. Hamzah Fansuri telah menghasilkan syair yang lebih bersifat Melayu dan menyebabkan syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab.

      Di samping itu, syair juga membawa maksud perasaan serta pengenalan dengan pancaindera yang selalunya membangkitkan pelbagai perasaan dan pengalaman serta mempunyai bahasa yang indah dan menarik.

       Syair juga sering membawa makna isi yang behubung dengan kias ibarat, sindiran, nasihat, pengajaran, agama dan juga berasaskan sejarah atau dongen.

Ciri-ciri syair :

I. terdiri daripada 4 baris serangkap (tetapi sesetengah syair boleh juga dihasilkan dalam 2 atau 3 rangkap).

II. syair tidak mempunyai pembayang maksud (berbeza dengan pantun).

III. setiap baris dalam syair mempunyai makna yang berkaitan dengan baris-baris terdahulu. Sebuah syair biasanya menceritakan suatu kisah.

IV. bilangan perkataan dalam setiap baris adalah sama iaitu 4 perkataan dan 8-12 suku kata dalam satu baris.

V. Syair boleh terdiri daripada syair romantik, syair sejarah, syair ibarat dan juga syair keagamaan.


Lagu/Melodi Syair

Pada masa ini kita mengetahui bahawa ada beberapa irama yang digunakan untuk membaca syair. Pada pandangan umum ada 3 lagu yang distinctive atau berbeza. Tiga irama tersebut dilabelkan sebagai

1-Selendang Delima,

2-Dandan Setia

3-irama Narasi

.       Walaupun mudah mengesan asal usul perkataan syair tetapi tidak mudah mengesan asal usul irama yang digunakan untuk menyanyikan syair. Bagaimanakah ketiga-tiga melodi itu mendapat nama? Tidak logik jika kita mengatakan bahawa melodi Selendang Delima adalah untuk membaca Syair Selendang Delima sahaja dan Dandan Setia untuk membaca syair Dandan Setia.. Tidak mungkin masyarakat dahulu sebegitu spesifik dan sistematik sedangkan mereka langsung tidak spesifik di dalam perkara lain. Siapakah yang memberikan nama-nama tersebut .Apa maksud narasi? Adakah narasi bermaksud naratif?

        Irama Selendang Delima adalah irama yang lebih dikenali kerana irama ini tersebar luas melalui radio khasnya melalui rancangan Bangsawan Di udara terbitan Radio Malaya yang dipancarkan dari Singapura pada zaman-zaman sebelum merdeka. Soalnya sejak bilakah irama Selendang Delima ini digunakan?

        Kita juga mengetahui bahawa pada zaman dahulu bacaan syair diadakan semalam-malaman dan bersambung-sambung hingga beberapa malam. Adakah pembaca syair menggunakan irama Selendang Delima?. Sukar untuk membayangkannya. Irama Selendang Delima memang merdu dan mendayu tetapi mengambil masa yang panjang, iaitu hampir 1 minit untuk 1 rangkap dan selepas beberapa rangkap ia akan menjadi monotonous. Orang ramai yang datang berduyun-duyun adalah khalayak yang buta huruf yang mahu mendengar cerita yang terungkap di dalam syair-syair yang dibaca. Mereka mencari hiburan dari kisah-kisah kehidupan putera puteri cantik di istana yang indah. Itu adalah jalan ’escapism’ dari realiti kehidupan seharian mereka. Irama Selendang Delima tidak dapat megisi keperluan untuk menyampaikan maklumat dan membangkitkan suspen dan sebagainya. Saya lebih percaya tukang syair membaca versi irama syair yang lebih pendek dan ringkas atau hanya membaca dengan lagu dan rentak yang kita dengar dari penglipur lara. . Ini lebih munasabah untuk membawa cerita yang panjang dan bertahan hingga ke jauh malam.

         Mungkinkah bacaan syair versi Selendang Delima itu adalah hasil pengindahan oleh kumpulan bangsawan dan dipopularkan melalui persembahan bangsawan?. Irama yang mendayu-dayu ini digunakan oleh narator dan sangat sesuai untuk membangkitkan mood cerita khayalan yang penuh sedih pilu dan pujuk rayu percintaan. Barangkali rakaman terawal ialah rancangan Bangsawan Di Udara. Antara kumpulan bangsawan yang diberi slot di rancangan ini ialah Tijah Dean Bangsawan.

VIDEO SYAIR IRAMA SELENDANG DELIMA




SELOKA




Seloka ialah puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama ataupun tidak. Antara ciri seloka adalah mengejek, menyindir secara serius atau jenaka mahupun mengkritik tingkah laku dan sifat negatif seseorang ataupun sekelompok masyarakat.
Menurut Kamus Dewan edisi ke-4, seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran seperti sindiran mahupun jenaka. Kata seloka berasal dari bahasa Sanskrit iaitu ‘Sloka’. Seloka kebiasaannya ditulis dua atau empat baris dan terkadang seloka juga ditulis lebih dari empat baris.
Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusteraan Melayu lama adalah :-
                                I.            Seloka Emak Si Rendang
                              II.            Seloka Pak Kaduk
                            III.            Seloka Pak Pandir
Contoh Seloka Pak Kaduk:
Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.

VIDEO SELOKA PAK KADOK:









Wednesday, 27 November 2013

NAZAM


Nazam merupakan sebuah puisi klasik Melayu pengaruh Arab. Pada zaman dahulu, pedagang -pedagang dari Asia Barat atau Timur Tengah iaitu Arab dan Parsi telah datang ke Melaka untuk berdagang. Selain berniaga. mereka juga mengajar agama Islam kepada penduduk tempatan. Selain kitab suci AI-Quran. kitab-kitab Hadis. Kitab Tauhid, Fekah, Tasauf dan Tajwid juga diperkenalkan. Selain itu, mereka juga memperkenalkan Kitab Berzanji yang di dalamnya mengandungi pelbagai puisi Arab seperti Ratib. Berzanji. Syair, Burdah, Qasidah, Nasyid. Thamsil, Rubai. Kithah, Masnawi, Marhaban, Ghazal, Bayt dan Nazam.

merupakan salah satu jenis puisi lama yang telah wujud lebih 100 tahun yang lalu. Nazam yang seakan-akan menyerupai nasyid tetapi ia boleh didendangkan secara perseorangan atau berkumpulan secara sponton oleh kaum wanita ketika menganyam tikar, membuat ketupat,menidurkan anak dan sebagainya.

Kebanyakan lirik atau senikatanya berbentuk puisi lama mengandungi pelbagai nasihat dan tunjur ajar biasanya berkaitan dengan ilmu tauhid, Fardhu Ain, Sifat Rasul, Sifat 20 dan sebagainya. Kumpulan yang mendendangkan nazam ini biasanya terdiri daripada 5 hingga 8 orang. Menurut sejarah, Nazam dikatakan berasal dariParsi dan pada abad ke 16, nazam dibawa ke Asia Tenggara melalui pedagang dan alim ulamak.

Aku mula nazam ini dengan nama,
Allah yang memberi fahaman agama,
Puji itu bagi Allah yang mulia,
Lagi kekal ia lagi yang sedia.


Dari contoh di atas yang di karang oleh Tuan Guru Haji Mustapa dari Kuala Linggi, dapat dilihat nazam dicipta oleh alim ulama yang mempunyai ilmu yang mendalam mengenai agama. Cara penyampaian bergantung kepada tajuk atau mesej yang hendak disampaikan..



GURINDAM




Gurindam adalah bentuk puisi lama yang terdiri dari dua bait, tiap bait terdiri dari 2 baris kalimat dengan rima yang sama, yang merupakan satu kesatuan yang utuh. Gurindam ini dibawa oleh orang Hindu atau pengaruh sastra Hindu. Gurindam berasal dari bahasa Tamil (India) iaitu kirindam yang berarti mula-mula amsal, perumpamaan. Baris pertama berisikan semacam soalmasalah atau perjanjian dan baris kedua berisikan jawapan nya atau akibat dari masalah atau perjanjian pada baris pertama tadi. Contoh:
Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat.
Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut senang hati
Pengarang gurindam yang terkenal adalah Raja Ali Haji, saudara sepupu Raja Ali yang menjadi raja muda di Riau (1844-1857). Gurindam 12 pasal karya Raja Ali Haji yang terkenal berjudul “Gurindam Dua Belas”.

VIDEO GURINDAM:





SASTERAWAN NEGARA




Sasterawan Negara Malaysia merupakan anugerah yang diberikan kepada mereka yang menyumbang dalam bidang sastera bahasa Melayu di Malaysia. Anugerah Sastera Negara yang pertama diadakan pada tahun 1981 hasil gesaan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn yang menginginkan sebuah hadiah sastera yang berprestij demi mengangkat martabat sastera di negara kita.

            Anugerah Sastera Negara dipilih oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara yang ditunjangi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Pemenang akan menerima wang tunai RM30,000 dan pelbagai kemudahan menjalani kehidupan dan berkarya. Sejak tahun 2003, nilai hadiah ini telah ditambah menjadi RM60,000 di samping kemudahan menerbitkan karya sehingga mencecah RM500,000

i.   1981 : (Dr) Kamaludin Muhammad atau Keris Mas
ii.  1982 : Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad
iii. 1983 : Datuk (Dr.) Usman Awang
iv. 1985 : Datuk (Dr.) A. Samad Said
v.  1987 : (Dr.) Muhammad Dahlan Abdul Biang atau Arena Wati
vi. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
vii.1993 : Datuk Noordin Hassan
viii.1996 : Datuk Abdullah Hussain
ix. 2003 : Prof. Madya Dr. Syed Othman Syed Omar atau S. Othman Kelantan
x.  2009 : Dato' Dr. Anwar Ridhwan
xi.  2011 : Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala
xii. 2013 : Datuk Baha Zain



NARATIF LISAN

    

      Naratif lisan dalam kesusasteraan melayu tradisonal terbahagi kepada tiga genre iaitu cerita rakyat, cerita mitos, dan cerita lagenda.:

      Cerita  rakyat

       Cerita  rakyat  merupakan  cerita-cerita  yang  disampaikan  secara  lisan  dalam  satu  kelompok  masyarakat  pada  zaman  dahulu  bertujuan  sebagai  hiburan,  menyampaikan  nasihat,  berkongsi  ilmu,  dan  sebagainya.  Cerita-cerita  ini  disampaikan  daripada  satu  generasi  kepada  generasi  seterusnya  dan  telah  menjadi  warisan  dalam  kelompok  itu.  Cerita  rakyat  biasanya  disampaikan  oleh  orang-orang  yang  lebih  tua  seperti  datuk,  nenek,  ibu  bapa,  atau  ketua  masyarakat.  Namun  begitu,  terdapat  juga  cerita-cerita  rakyat  yang  telah  menjadi  global  kerana  dikongsi  dengan  kelompok  masyarakat  lain  di  seluruh  dunia.

       Mitos
   
      Mitos  adalah  cerita  rakyat  yang  tokohnya  terdiri  dari  para  dewa  atau  makhluk  setengah dewa  (demi-god)  yang  terjadi  di  dunia  lain  atau  kayangan  pada  masa  lampau  dan  dianggap  benar-benar  terjadi  oleh  yang  empunya  cerita  atau  penganutnya.  Mitos  pada umumnya  menceritakan  tentang  kejadian  terjadinya  alam  semesta,  dunia,  bentuk khas  binatang,  bentuk  topografi,  peperangan  para  dewa,  kisah  percintaan  mereka  dan sebagainya..

       Lagenda
  
       Lagenda  adalah  cerita-cerita  rakyat  yang  tidak  diketahui  akan  kesahihannya  mengenai  sesuatu  kejadian  itu  namun  dipecayai  benar-benar  terjadi  di  suatu  tempat.  Lagenda  biasanya  disampaikan  secara  lisan  dan  merupakan  gossip  atau  cerita  hangat  yang  menjadi  buah  mulut  pada  zaman  dahulu  mengenai  kejadian  yang  terjadi. Misalnya,  kejadian  Si  Tanggang  yang  disumpah  menjadi  batu  kerana  menderhaka  kepada  ibunya  adalah  lagenda  yang  sering  disampaikan  dan  dipercayai  benar-benar  berlaku  walaupun  tiada  sebarang  bukti  konkrit. 

Wednesday, 20 November 2013

PUISI







Definisi Puisi Moden

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai,”khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Seterusnya Za’ba mengatakan bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu.  

         Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba di atas memperlihatkan dua ciri utama puisi. Pertama, sifat abstraknya seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Kedua, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.
Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba  lebih merupakan definisi dari sudut pandangan seorang pengkaji. Definisi puisi yang dikemukakan oleh seorang penyair dan sekali gus sarjana sastera pula, iaitu Muhammad Haji Salleh, puisi ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijakan penyair dengan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana.

        Daripada penyair Inggeris di Barat pula, Wordsworth, mendefinisikan puisi sebagai pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak ... curahan perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang. S.T. Coleridge, juga seorang penyair Inggeris, mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.

         Masih banyak lagi definisi puisi yang dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil definisi yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu tinggi.

Sejarah Awal Puisi Melayu Moden Secara Ringkas

            Penulis Melayu yang pertama menulis puisi Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya bertajuk “Angan-angan dengan Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913. Puisi ini dari segi bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi Melayu tradisional – pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan baris, rangkap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Dari segi isinya, mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu menyuarakan persoalan ekonomi dan politik.

      Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan pembaharuan atau pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan dalam penghasilan puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan menulis puisi mula kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi “O Sariku”, karya Harun Aminurrasyid yang tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember 1933. Pada tahun 1934, Pungguk menghasilkan lima buah puisi sekali gus dan disiarkan dalam Majalah Guru, Mac 1934. Judul puisi-puisi Pungguk itu ialah, “Keluh Kesah”, “Selalu Merayu”, “Tak Disangka-sangka”, “Pujukan hati”,  dan “Ibuku”. Dalam kelima-lima buah puisi ini telah ditemui penyimpangan daripada peraturan puisi-puisi Melayu tradisional yang ketat.

           Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk menghasilkan puisi moden, puisi Melayu moden tumbuh dan berkembang dengan pesat sekali. Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh para penyair yang bersesuaian dengan zaman mereka dan harapan mereka tentang hidup dan kehidupan ini yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia, manusia dengan Pencipta, dan manusia dengan alam. Hal ini akan lebih jelas terlihat apabila alur sejarah pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden disusuri.

Persediaan Menulis Puisi

         Seseorang yang hendak menulis puisi haruslah pula mempersiapkan dirinya. Dia mestilah banyak membaca puisi, karya banyak penyair. Dengan ini, secara tidak langsung dia mempelajari puisi. Dia juga mestilah banyak membaca bahan bacaan yang lain untuk tujuan memperluas kosa kata dan mendapat idea untuk menulis puisi. Dia juga mestilah sering menghasilkan puisi sebagai latihan untuk menimbulkan keterampilan dalam penulisan puisi. Untuk itu, dia juga mestilah memiliki kesabaran dan bersedia untuk menyendiri. Semua ini merupakan sebahagian kecil tuntutan yang diperlukan sebagai persediaan untuk seseorang itu menulis puisi.

Panduan Penulisan Puisi


Puisi yang bermutu ialah puisi yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu. Oleh itu, seseorang yang hendak menulis puisi mestilah mengambil kira aspek keseimbangan ini.

           Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa, dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi.

           Struktur dalaman puisi terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi, dan politik. Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah, dan sebagainya. Nada ialah sikap penyair penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek, menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.